Monday, December 27, 2010

Gosip Mat Bola...

Penyokong Indonesia serang banyak group FB
Indonesia bukan masyarakat yang sporting. Dalam membincangkan prospek Malaysia-Indonesia menjelang final esok, ruang siber juga mahu didominasi dengan pelbagai kata nista yang kurang enak serta menyentuh politik Pelbagai group dalam FB, termasuk yang rasmi dikendalikan penganjur Piala Suzuki AFF, dihujani komen daripada pelayar dari Indonesia memburukkan Malaysia.
Mat Bola: Suka perang siber

Gelora di Gelora Bung Karno
Jangan terkejut jika ada botol berisi air berwarna kuning dilempar ke arah anda jika anda berada di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta.
Suasananya bukan untuk yang berhati kecil. Hati-hati pula jika lawan Indonesia yang menang. Kali terakhir Malaysia menang di Jakarta pada 28 Disember, 2004, dua hari selepas tragedi Tsunami di Acheh, pasukan negara pimpinan Bertalan Bisckei terpaksa tunggu lebih dua jam sebelum boleh keluar dengan selamat dari perut stadium.
Mat Bola: Muka macam Jawa, jadi tidak ada masalah.


FAM silap besar
Alahai, kenapalah FAM bagi 15,000 tiket kepada Kedutaan Indonesia? Sejumlah 500 keping pun cukup sebenarnya. Usah harap Malaysia dapat layanan yang sama dari Jakarta nanti. Pihak imigresen pun turun padanglah, tengok sama ada di kalangan mereka ada permit atau tidak.
Mat Bola: Lesen besar.



RTM siar secara langsung
Mujur Radio Televisyen Malaysia (RTM) memutuskan untuk menyiarkan perlawanan final pertama secara langsung pada 8.0 malam esok. Ini berikutan keputusan RTM menyiarkan secara langsung pertemuan separuh akhir pertama dan kedua menentang Vietnam setengah jam selepas sepak mula bagi menyiarkan Berita Nasional. Yang peliknya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim, terpaksa buat kenyataan akhbar, sedangkan mereka bukan saja boleh hantar pesanan ringkas kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, bahkan boleh bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Lain kali, perkara macam ini tidak perlulah rayuan mana-mana pihak. Sendiri mahu ingatlah! Apapun tahniah kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan orang kuatnya kerana berani menyiarkan siaran langsung biarpun terlewat 30 minit. Khabarnya RTM bayar puluhan ribu ringgit untuk hak siaran itu.
Mat Bola: Budaya bola sepak pun penting.

Tabung akujanji
Syabas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerana mengilhamkan Tabung Akujanji Ganjaran buat pasukan bola sepak kebangsaan. Pengendali akujanji itu pula Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM). Setakat semalam, pihak yang menjanjikan ganjaran berjumlah RM90,000. Bandingkan pula dengan Indonesia yang bakal menerima RM900,000 jika menang! Apalagi, jom beri sumbangan.
Mat Bola: Sumbang duit sendiri.

Apa istimewanya bola?
Ramai pula pertikai, apa istimewanya pasukan bola sepak kebangsaan sampai dapat layanan istimewa dan ganjaran lagi menerusi Tabung Akujanji. Sebenarnya mudah, pertama, kerana impak kejayaan pasukan bola sepak menjuarai kejohanan serantau berbeza dengan kesannya jika ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David, muncul juara dunia. Malaysia menjadi juara bola sepak Sukan SEA berbeza impaknya dengan lima emas daripada karate. Lagipun, pasukan negara kali terakhir masuk final Piala AFF pada 1996. Secara realistiknya, Piala AFF adalah medan paling sesuai untuk Malaysia bergelar juara, bukan Sukan Asia, Piala Asia, Sukan Olimpik, apa lagi Piala Dunia! Namakan sukan apa yang boleh mengumpulkan 50,000-100,000 orang untuk ke Stadium Nasional. Wusyu, lumba basikal, skuasy, silat, olahraga?
Mat Bola: Mat Bola, bukan Mat Skuasy.

Alasan pancaran laser
Ada ancaman Indonesia boikot pertemuan esok jika pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia. Ini semua mengarut. Dibantu media Indonesia yang gemar merendah-rendahkan Malaysia, Indonesia main perang psikologi.
Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.
Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta, dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: “Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan. Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan.”
Mat Bola: Mulut laser.

Indonesia layanan karpet merah
Indonesia diberi keistimewaan melampau sepanjang kejohanan Piala Suzuki AFF ini. Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain. Sepatutnya Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengadakan pertemuan separuh akhir di antara Filipina dan Indonesia di Singapura atau Bangkok, iaitu gelanggang neutral memandangkan stadium di Manila tidak mengikut piawaian antarabangsa.
Mat Bola: Layanan VIP oleh isteri.

Senarai cabaran di Jakarta
Malaysia boleh bersiap siaga menghadapi pelbagai cabaran apabila bertandang ke Jakarta Rabu ini. Berikut senarai cabaran yang menanti.
1. Tiada kawalan keselamatan untuk penyokong Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno kerana petugasnya yang memakai seragam, sekadar pemerhati.
2. Jakarta terkenal dengan kesesakan lalu lintas atau macet. Tapi pasti tiada usaha memberi laluan kepada bas pasukan Malaysia. K. Rajagobal dan anak buahnya akan menharungi macet untuk pergi dan pulang dari gelanggang latihan.
3. Jika Malaysia memberi 15,000 tiket kepada Kedutaan Indonesia untuk pertemuan di Stadium Nasional, berapa puluh keping agaknya PSSI akan beri kepada Kedutaan Malaysia di Jakarta?
4. Bas pasukan Malaysia akan dibawa ke satu tempat sesak dengan penyokong Indonesia untuk dicerca, diherdik dan dicaci.
5. Gelanggang latihan yang diberi macam batas tanam ubi.
6. Jaga-jaga dengan air minuman dan ais. Pastikan ia dimasak.
7. Suasana bingit dengan mini vuvuzelas dibunyikan sehingga pemain tidak dapat mendengar sesama sendiri.
8. NegaraKu akan tenggelam dengan kebisingan lebih 90,000 penyokong Indonesia.
9. Tiada kawalan keselamatan di hotel rasmi dan jangan terkejut jika pemain Indonesia terpaksa menggunakan laluan kakitangan hotel untuk ke tempat makan bagi mengelak gangguan.. Hati-hati dengan penyokong, sama ada mereka berniat baik atau jahat.
10. Dari hotel rasmi ke Stadium Utama jaraknya cukup dekat, tetapi ia akan mengambil masa hampir setengah jam untuk memasuki stadium. Bas akan ditendang, dipukul dan suasananya menakutkan pemain muda.

3 comments:

azroy kassim said...

sepupu saya yang belajar di jakarta menyaksikan kekalahan 5-1 malaysia tempoh hari. beliau dan rakan2nya serta penyokong malaysia yang lain dilempar bermacam-macam objek. menyaksikan perlawanan akhir kini adalah satu RISIKO kata sepupu saya.

*harap para pemain, penyokong, para media mahupun VIP malaysia berhati-hati disana.

Anonymous said...

Saya menonton RCTI dan TVRI hari hari mereka menyiarkan perlawanan 5-1. Dan semalam penonton yang ingin membeli tiket di arahkan ke dalam stadium kerana di luar tidak terkawal dan di dalam stadium mereka telah mengoyakkan pagar keselamatan dalam stadium dan ada yang tersepit dan pengsan. Ini baru beli tiket kalau game entahlah apa akan jadi.

Anonymous said...

dalam sebuah rancgn tv TVONE di indonesia yg membincgkan psal bola sepak, org kuat pssi nordin ade mengatakan bahawa org mlsia sabotage player mreka dengan menaburkan sometg kt padang tmpt mreka traing di malaysia..indonesia turut mnuduh malaysia mgunakn mantera smpai mnybabkan 3 player mrka gatal2 dan pening2..yg mana scra tidak lgsg mganggu prestasi permainan mrka..

so harap kslamatan player msia di sana dikawal dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian yg tidak diingini blaku..mungkin mereka akan menggunakan taktik kotor untuk mengalahkan malaysia..