Sunday, May 6, 2012

Daftar dan RM1 diderma kepada D. Nadarajan

Bagi penggemar sukan olahraga, nama D. Nadarajan bukan asing pada era 90-an. Dia seangkatan dengan Romzi Bakar dan Yazid Parlan dalam membakar trek. Kepakaran mereka larian 400m.

 Ini wajah Nadarajan di waktu kegemilangannya. Aku menjadi saksi kepada lariannya yang membantu kuartet 4x400m menggapai emas di Sukan SEA Jakarta pada 1997. Dalam perlumbaan final 400m, dia mengutip perak, di belakang Romzi. Di edisi di Chiangmai pada 1995, Nadarajan mendapat pingat gangsa. 

Ini wajah terbaru Nadarajan


Bersama anak dan isteri. Nadarajan hilang daya ingatan dan lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan apabila tayar yang sedang dibaiki meletup pada 2007. Dia terpaksa menjalani pembedahan otak. Bekas kakitangan Maybank itu tidak mempunyai sumber pendapatan.

Melihat keadaan terkini Nadarajan, bekas rakan sepasukannya S. Ganesan, berjanji menderma RM1 daripada setiap pendaftaran untuk larian Half-Marathon Sungai Petani pada 1 September depan.


Ganesan, bekas pelari 1,500m negara, menganjurkan larian SP Half-Marathon. Kanan ialah Glenny J Da Costa, pengurus jualan World of Sports, pengedar Mizuno yang menaja larian itu


Bersama Arul Thevar (kiri) dan Jironi Riduan (kanan sekali) yang berjanji akan mengambil bahagian dalam larian itu.


KUALA LUMPUR (April 27 2012): Seramai 10,000 peserta dijangka menyertai larian Separuh Maraton Sungai Petani 2012 pada 1 September depan.


 Dianjurkan oleh Kelab Sukan Generasi Kejayaan Ria diketuai bekas pelari jarak jauh kebangsaan, S. Genesan, larian itu akan dimulakan di Dataran Zero, Sungai Petani dan mempertandingkan 12 kategori menerusi empat jarak berbeza - 21km, 10km, 5km dan 3km.


Berucap pada majlis pelancaran di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara di sini hari ini, Genesan berkata: “Larian ini bukan sekadar bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga untuk mencungkil bakat baru di kalangan pelari jarak jauh.


“Dengan jumlah penyertaan yang dijangka besar, acara ini juga dapat mempromosi Sungai Petani dan Kedah sebagai destinasi pelancongan.


“Memandangkan aktiviti sukan, khususnya acara larian menarik minat masyarakat, kami di Kelab Sukan Generasi Kejayaan Ria berasa terpanggil untuk menganjurkan satu acara larian yang mencabar kemampuan mereka. “Lebih penting, kami mahu setiap peserta untuk menikmati acara larian. Kami yakin untuk menarik penyertaan seramai 10,000 peserta,” katanya.


Hadir sama Pengurus Jualan dan Pemasaran, World of Sports, Glenny J Da Costa. WOS adalah pembekal Mizuno yang menaja larian Separuh Maraton Sungai Petani 2012. Dua atlet kebangsaan, Jironi Riduan dan Arul Thevar, mengesahkan penyertaan masing-masing. Turut hadir bekas atlet kebangsaan, Kenny Martin.


Genesan yang mengutip pingat perak acara 1,500m di Sukan SEA Manila pada 1991, menganggap suasana kehijauan sekitar Sungai Petani, bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Star, cukup sesuai untuk menganjurkan larian sedemikian.


Menurutnya, hadiah wang tunai disediakan untuk 10 pemenang setiap kategori individu dan cabutan bertuah akan diadakan sempena larian itu. Genesan yang mewakili negara pada enam temasya Sukan SEA dari 1991 hingga 2005 berkata tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada Ogos depan manakala borang penyertaan boleh didapati di pejabat FTAAA di Wisma OCM, Kelab Sukan GK Ria di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani dan Dewan Penjara, Sungai Petani.


 Elemen amal turut diterapkan dalam penganjuran acara ini kerana RM1 daripada setiap pendaftaran, kecuali pendaftaran kategori pelajar, akan disumbang kepada D. Nadarajan, bekas pakar 400m negara dan pemenang pingat emas Sukan SEA 1997 yang kini lumpuh selepas satu kemalangan pada 2007.


“Keadaan Nadarajan ketika ini cukup menyayat hati. Kami menganggap sumbangan daripada yuran pendaftaran itu sebagai permulaan bantuan kepada Nadarajan secara jangka masa panjang,” kata Genesan.


 Glenny pula berkata sebagai jenama yang dikait rapat dengan olahraga, Mizuno berkongsi minat dan keghairahan yang sama terhadap acara larian sebagaimana penganjur SP Half-Marathon.


 “Kami berasa teruja menjadi sebahagian daripada acara ini yang dikelolakan oleh seorang bekas atlet. Tidak salah saya ini kali pertama seorang bekas pelari bertindak sebagai penganjur,” kata Glenny.


 Yuran pendaftaran seperti berikut: Yuran awal di antara 1 Mac hingga 31 Mei ditetapkan RM37 bagi jarak 21km, RM40 bagi 3km, RM27 bagi 10km dan RM10 bagi jarak 5km. Larian ini merangkumi 12 kategori, seperti berikut: Terbuka Lelaki (18 tahun ke atas) - 21 km & 10km Veteran Lelaki (40 – 49 tahun) - 21 km & 10km Senior Veteran Lelaki (50 tahun ke atas) - 10 km Terbuka Wanita (18 tahun ke atas) - 21 km & 10km Veteran Wanita (40 tahun ke atas) - 10 km Pelajar sekolah – lelaki (17 tahun ke bawah) - 5km Pelajar sekolah – perempuan (17 tahun ke bawah) - 5km Murid lelaki (12 tahun ke bawah) - 3km Murid perempuan (12 tahun ke bawah) – 3km Untuk maklumat lanjut, hubungi penganjur S. Genesan di 013-5000 684 atau 013-5000 986, 04-4487 187 atau emel sgkv_7078@yahoo.com dan sphalfmarathon@gmail.com. 


1 comment:

Andrew Gopal said...

Hope YAKEB could contribute Rizal.