Wednesday, September 16, 2015

Throwback EPLx dan Rembat Kosmo!

Selaku wartawan, aku diajar bukan saja membuat laporan permainan, bahkan analisis, komentar dan profil atlet. Menghimpun pengalaman sepanjang tugasan bersama Berita Harian dan The Malay Mail, aku berkongsi ilmu dengan pembaca EPLx Kosmo! yang kemudian dijenamakan semula sebagai Rembat Kosmo! Atas syor bekas wartawan New Straits Times dan setiausaha akhbar Tun Daim Zainuddin, Rashid Yusof, aku menjadi editor sisipan EPLx Kosmo pada 2009. Tamat setahun, kontrak aku dengan syarikat yang menaja sisipan tidak diperbaharui, tetapi Pengarang Kosmo, Baharom Mahusin (kini Datuk) mencadangkan sisipan itu diteruskan dengan nama lain, iaitu Rembat Kosmo! juga pada setiap Sabtu. Sisipan itu memberi ruang 60 peratus kepada bola sepak luar dan bakinya bola sepak tempatan.



Lakaran Hazli Ahmad Sanusi (hazliahmadsanusi@gmail,com)


Lakaran pasukan grafik Kosmo menjelang final Piala Malaysia 2010


Sorotan pemilihan kabinet FAM 2010-2014


Surat terbuka buat Rajagobal



S. KUNANLAN


S. Kunanlan
Tarikh lahir: 15 September, 1986
Asal: Semenyih, Selangor
Sekolah: SJK Ladang Semenyih, SMK Engku Hussin, Semenyih
Posisi: Tengah
Pencapaian: Mewakili pasukan Bawah 18 Selangor, skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia 2009, juara Piala FA 2010, naib juara Piala Malaysia 2010.

Jantung Harimau Malaya

JIKA bekas bintang Selangor, K. Sanbagamaran, satu ketika dahulu berbasikal ke sekolahnya di Kajang sebagai latihan menguatkan paru-paru, S. Kunanlan memiliki ketahanan menyempurnakan larian jarak jauh.

Daripada perlumbaan 1,500m, 3,000m lari berhalangan, 5,000m hingga merentas desa, Kunanlan mencipta nama sebagai pakar lari jarak jauh di peringkat remaja. Bahkan dia pernah menduduki tangga keenam acara merentas desa perlumbaan di peringkat daerah Hulu Langat.

Hasilnya, lahirlah seorang pemain bola sepak berbakat yang memiliki kepantasan, kerajinan dan tidak kenal erti lelah.

“Saya main bola sejak kecil. Terpilih mewakili sekolah rendah SJK Ladang Semenyih selaku seorang pemain tengah, saya juga cukup meminati acara larian jarak jauh. Kalau acara merentas desa, saya sudah bertanding sejak umur 10 tahun.

“Kalau kategori Bawah 12 tahun, jaraknya 6km, Bawah 16 tahun 8km, Bawah 18 tahun 10km. Kami sekeluarga memang aktif dalam olahraga,” imbas Kunanlan yang kini antara tonggak tersenarai dalam minda Datuk K. Rajagobal.

Di sebalik ketrampilannya selaku pelari jarak jauh, bakat Kunanlan dalam bola sepak tidak terpendam begitu saja.

Atas dorongan gurunya, Kunanlan menjadikan kebolehan berlari itu sebagai aset. “Saya bermain di tengah, di penjuru dan pernah juga main stopper,” kata Kunanlan.

“Tapi pada satu hari, jurulatih Cikgu Zulkifli beri saya tugas sebagai pemain sayap.”

Cemerlang di peringkat sekolah dan seterusnya daerah, Kunanlan menjalani ujian pemilihan Bawah 15 Selangor.

“Saya gagal kerana dianggap terlalu kecil. Saiz jadi penghalang,” katanya.

Sekali lagi Kunanlan mencuba nasib dengan skuad Bawah 18 Selangor tetapi kurang bernasib baik. Lalu dia membawa diri ke Seremban untuk menyertai Liga Dunhill Menteri Besar.

“Hendak cuba masuk akademi, saya dah terlebih umur, jadi akhirnya saya terpilih menganggotai skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.”

Jika ada pemain utama yang tercedera, Kunanlan dipanggil oleh jurulatih Negeri Sembilan ketika itu, Hatem Souissi.

Pintu buat Kunanlan terbuka apabila Wan Jamak Wan Hassan menggantikan Hatem. Itu antara tindakan paling awal Wan Jamak setibanya di Seremban.

“Saya masih ingat ketika menguruskan Telekom Melaka, kami ada berdepan dengan Negeri Sembilan yang memiliki seorang pemain sayap yang pantas dan tidak kenal penat. Jadi apabila tiba di Seremban, Kunanlanlah nama pertama yang saya cari,” kata Wan Jamak.

Dari situ, Kunanlan memikat perhatian B. Sathianathan yang memanggilnya untuk latihan pusat menjelang Pestabola Merdeka.

“Tapi saya kena gugur,” kata Kunanlan.

Nama Kunanlan sangkut selaku anggota skuad utama ke Sukan SEA Laos pada 2009 dan dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Di sebalik kerajinan, kelajuan dan kepintaran menewaskan bek kanan lawan, hanya satu kelemahan Kunanlan - lemah di depan gol.

Apabila dihidangkan dengan peluang keemasan, biasanya Kunanlan kaget.

Sepanjang musim, Kunanlan hanya mencetak satu gol, ketika menentang T-Team. Disebabkan kekurangan dari segi menyudahkan peluang, sepakannya diselamatkan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud, seawal minit ke-10.

Apapun, anak Semenyih ini jantung Harimau Malaya.

K. Gurusamy Govandar
Tarikh lahir: 11 Januari,1989
Asal: Semenyih
Posisi: Tengah
Sekolah: SK Tamil Rinching, SMK Engku Hussin, Semenyih, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Pencapaian: Pingat emas Sukan SEA 2009, juara Piala AFF 2010.


K. GURUSAMY


Guru yang mendahului zaman

K. Gurusamy Govandar sudah biasa melampaui zamannya. Seawal usia 9 tahun, dia sudah dipanggil mewakili pasukan Bawah 12 tahun sekolahnya, sebelum bakatnya diketengahkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Ketika rakan-rakannya di SRJ Tamil Bandar Rinching, Semenyih, sibuk mentelaah pelajaran dan menghafal sifir, Gurusamy menghafal arahan jurulatih.

Pada usia 10 tahun, dia sudah menyarung jersi sekolah dan daerah. Sebagaimana “senior”nya di Semenyih, S. Kunanlan, yang aktif dalam acara merentas desa, Gurusamy juga gemar mengeluarkan peluh dan menguji kekuatan paru-parunya menerusi larian itu.

“Mungkin dari situ saya dapat tenaga berlebihan untuk bermain bola sepak tanpa mengenal penat,” kata Gurusamy, ditanya mengenai keupayaannya menjana jentera tengah sama ada untuk skuad Olimpik mahupun pasukan kebangsaan.

Disebabkan keinginan bermain bola sepak, Gurusamy banyak menghabiskan waktu lapangnya di padang di depan rumahnya di Taman Manickavasagam.

“Saya dan kawan-kawan gemar bermain bola dan buat perlawanan persahabatan dengan pasukan dari taman lain, biasanya pada setiap Sabtu. Kadang-kadang sanggup saya tak pergi sekolah tapi asyik main bola, dari pagi hingga petang,” katanya.

Di kalangan keluarganya yang besar, Gurusamy tidak berseorangan meminati sukan kegilaan ramai itu. Abangnya Mogan pernah beraksi dalam Piala Milo, Depan Sakti pula menyarung jersi Selangor musim ini, manakala adiknya Visunathan bersama Shahzan Muda.

“Kami bukan saja aktif dalam bola sepak, tetapi juga olahraga. Saya mewakili Hulu Langat dalam merentas desa,” katanya.

Lebih terkenal sebagai pemain tengah bertahan yang ditugaskan memperkasakan benteng pertahanan, Gurusamy yang mewakili Selangor sejak dari peringkat Bawah 12 tahun, pernah menjalani ujian pemilihan bersama akademi Negeri Sembilan tetapi tidak diterima masuk.

Bagaimanapun Gurusamy akhirnya diserapkan ke dalam program elit di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada 2005, lalu terus terpilih ke dalam skuad Bawah 20 Rajagobal ke Piala Lion di Singapura.

“Saya pun terkejut kerana pada usia 16 tahun, biasanya kena masuk pasukan Bawah 17 tahun dulu. Setahun kemudian saya terpilih menganggotai skuad Bawah 20 ke pusingan akhir Kejohanan Asia di India,” katanya.

Skuad muda pada 2006 itu membentuk teras barisan kepercayaan Rajagobal hari ini. Antaranya Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amar Rohidan, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim dan Khyril Muhymeen Zambri yang menjadi sebahagian daripada kejayaan Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010.

Meminati gaya permainan bintang Liverpool, Steven Gerrard dan tonggak Barcelona, Xavi, Gurusamy harus menjadi nadi penting dalam perancangan Ong Kim Swee untuk perhitungan pra-Olimpik serta Sukan SEA kelak.

“Saya berharap dapat membantu pasukan negara mengekalkan pingat emas yang dimenangi di Laos,” katanya. Di sebalik kesibukan mengawal pertahanan, Gurusamy juga pandai mencium peluang menggegar jaring lawan.

Jaringannya hasil lambungan jarak jauh ketika menentang Syria masih kekal dalam ingatannya, selain ledakan menentang Arab Saudi. Gurusamy juga tidak menghiraukan kritikan berikutan kegagalan pasukan negara mara ke pusingan ketiga pra-Piala Dunia zon Asia.

“Kami kena tebus di Sukan SEA dan pra-Olimpik,” katanya ringkas.


WAN ZACK HAIKAL WAN NOR

Melupakan raket demi sepatu bola

KERANA hujung sepatu bolanya, nama Wan Zack Haikal Wan Nor meniti di bibir peminat.

Meluru menyambut lorongan tepat Gary Steven Robbat dalam petak penalti, Wan Zack menjolok bola ke gawang melepasi terpaan penjaga gol Lebanon, Mohd Dakramanji, baru-baru ini, bagi menjamin tempat anak didik Ong Kim Swee di kalangan 12 pasukan terbaik Asia yang merebut tempat ke Sukan Olimpik tahun depan.

Peminat menyamakan senario gol itu, yang disempurnakan pada minit ke-42, dengan kaedah lazim Barcelona menggegar jaring lawan - hasil penyudah penyerang berikutan lorongan tajam dan tepat daripada pemain tengah.

“Sebenarnya ia hasil kerjasama sepasukan. Bagi saya hendak menyamakan gol itu seperti mana yang biasa dibuat Barcelona terlalu tinggi. Saya dan rakan-rakan tidak boleh terlalu berbangga kerana misi belum selesai. Apapun saya gembira menyumbang tenaga bagi menghidupkan impian Olimpik negara,” kata pemain berasal dari Maran, Pahang itu.

Bermula sebagai penyerang di Sekolah Rendah Kebangsaan Maran, Wan Zack dikurniai kepantasan semula jadi yang menyeksa lawan.

Disebabkan ketangkasannya, pemain berusia 20 tahun itu aktif dalam olahraga dan badminton ketika di bangku sekolah.

“Saya mewakili sekolah dalam acara pecut 100m dan 200m, bahkan pernah mewakili zon. Saya juga giat dalam badminton. Apabila guru mempelawa murid untuk menjalani ujian pemilihan, saya pergi.

“Akhirnya saya muncul juara perseorangan daerah Maran dan mara sehingga ke suku akhir peringkat negeri Pahang,” katanya mengimbas kenangan manis ketika remaja.

Apabila terpaksa memilih di antara badminton dan bola sepak, anak bongsu daripada sembilan beradik itu tidak perlu berfikir dua kali.

“Minat saya hanya satu - bola sepak,” katanya.

Terpilih mewakili pasukan sekolah-sekolah Bawah 12 tahun Malaysia ke Saitama, Jepun, pada 2003 sesudah menonjol bersama skuad Pahang yang bertanding dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) berbentuk karnival di FAM, Wan Zack tidak menoleh ke belakang.

Senarai penyertaannya dalam bidang sukan memudahkan Wan Zack menyertai SMK Kuala Lanar, Kuala Lipis, sekolah yang dianggap akademi sukan negeri.

Sejajar dasar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang membuka pintu kepada pelajar Tingkatan Empat, Wan Zack dipelawa menjalani ujian pemilihan di bawah kendalian Aminuddin Hussein dan Ahmad Fairuz Yunus.

Mengutip pengalaman bersama pasukan Bawah 16 tahun yang dikendalikan Robert Alberts dan Kim Swee di Hertfordshire dan Slovakia, Wan Zack cuba mencuri tempat dalam Harimau Muda di bawah K. Rajagobal pada 2008.

Namun dia digugurkan. Ini memaksa Wan Zack mengasah bakat bersama Felda United yang ketika itu dibimbing Reduan Abdullah, disusuli E. Elavarasan.

Apabila Kim Swee dilantik mengurus Harimau Muda B dengan Harimau Muda A dikendali Azraai Khor Abdullah selepas Rajagobal diangkat menjaga pasukan senior kebangsaan, Wan Zack kembali diberi perhatian.

Kini Wan Zack bersaing dengan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk mendapat kepercayaan Kim Swee bagi mengisi posisi sayap kanan. Dalam arena bola sepak tempatan, Wan Zack bukan berseorangan dalam membawa nama arwah bapanya Wan Nor Wan Ahmad yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Abangnya, Wan Azwari, beraksi selaku pemain pertahanan dengan Johor.

“Setakat ini, kami hanya pernah bertembung sekali, dalam perlawanan persahabatan,” kata Wan Zack yang gemar bermain snuker di masa lapangnya.

Biodata
Wan Zack Haikal Wan Nor
Tarikh lahir: 28 Januari, 1991
Asal: Maran, Pahang
Posisi: Sayap kanan
Sekolah: SRK Maran, SMK Kuala Lanar, Kuala Lipis, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)
Pasukan: Felda United, Harimau Muda B, Harimau Muda A
Hobi: Bermain snuker, permainan konsol
Masakan kegemaran: Ikan patin masak tempoyak


MAHALLI JASULI

 TERUJA KONGSI BILIK DENGAN AMRI

 APABILA seawal usia tiga tahun didedahkan kepada bola sepak, tidak hairanlah sukan itu dijadikan kerjaya oleh Mahalli Jasuli.

“Sejak saya di tadika lagi saya dibawa bapa (Jasuli Sarafi) ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan Selangor atau Kuala Lumpur beraksi,” kata Mahalli mengimbas detik-detik awal berjinak dengan bola sepak.

“Selangor ketika itu ada Malek Rahman dan Azman Adnan. Kuala Lumpur ada Liew Kim Tu.”

 Mencapai usia 12 tahun, Mahalli, anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Selayang Baru, sudahpun menyarung jersi Selangor.

Sambil bermain, Mahalli tetap berkunjung ke stadium untuk mencari sumber inspirasi.

“Idola saya Amri Yahyah. Saya pun minat jersi bernombor 17 kerana Amri,” dedah Mahalli.

“Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya apabila terpilih mewakili negara, beraksi pula di sisi Amri. Bukan itu saja, saya juga ditempatkan sebilik dengan Amri, tidak kira sama ada untuk tugasan dalam negeri atau luar negara. Jadi saya selalu ambil kesempatan bertanya kepada Amri bagaimana untuk memperbaiki kelemahan.”

Mahalli kini bek kanan tetap buat pasukan negara sekalipun tidak demikian keadaannya ketika anak buah K. Rajagobal memulakan kempen Piala Suzuki AFF di Jakarta tahun lalu. Jika diikutkan dari segi usia dan pengalaman, Mahalli di tempat ketiga di belakang Razman Roslan dan Sabre Mat Abu.

Namun prestasi Razman ketika tewas 5-1 kepada Indonesia pada perlawanan pembukaan kurang meyakinkan.

Mahalli diberi peluang pada pertemuan dengan Thailand yang berkesudahan 0-0, lantas dia tidak menoleh ke belakang.

Sambil sibuk menjalankan tugas mengekang pemain sayap kiri lawan, Mahalli gemar menyusup ke kubu lawan.

Dalam keghairahannya menyerang, sepakannya terbias ke gawang Laos ketika Malaysia menang 5-1.

Pada final pusingan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Mahalli melambungkan bola tepat ke kepala Safee Sali yang menanduk jaringan kedua peribadinya untuk menjadikan kedudukan selesa pasukan negara mendahului Indonesia 3-0.

“Saya ingat saingan Piala Suzuki bukan saja kerana kita menang tetapi juga kerana saya tidak beraksi pada perlawanan pertama dan terakhir,” katanya yang digantung secara automatik akibat menerima kad kuning kedua pada final pertama di Bukit Jalil.

Sumbangan Mahalli sedikit sebanyak menebus “dosanya” sesudah dibuang padang oleh pengadil Australia, Ben Williams, ketika Malaysia tewas kepada China pada Sukan Asia di Guangzhou, November lalu.

“Itu kad merah pertama dalam kerjaya saya. Saya harap ia juga yang terakhir,” kata Mahalli mengenang detik tendangannya ke luar padang yang mendorong Williams melayangkan kad kuning kedua kepada pemain itu. Seterusnya Safiq Rahim dibuang padang kerana protes berlebihan.

Setelah mewakili SK Selayang Baru dan seterusnya Selangor untuk pertandingan Bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Mahalli yang meminati bintang Liverpool, menggilap bakatnya di Sekolah Projek di Shah Alam sebelum terpilih menyertai program elit Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) kendalian Aminuddin Hussein dan Ahmad Fairuz Yunus.

“Dari tingkatan satu ke tingkatan tiga, saya beraksi di penjuru. Di Bukit Jalil, saya banyak beraksi selaku pemain tengah.”

Mahalli kemudian terpilih menganggotai skuad Bawah 19 Selangor selaku penyerang.

“Saya ada juga jaringkan tujuh gol dan agaknya sebab itu saya dapat peluang sertai skuad kebangsaan Bawah 19 tahun kendalian K. Rajagobal dalam Liga Perdana.”

Mahasiswa dalam jurusan Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Mahalli kini antara yang tertulis selaku tonggak skuad pra-Olimpik bimbingan Ong Kim Swee. Akan tiba masanya Mahalli pula menjadi idola.

Mahalli Jasuli

Tarikh lahir: 2 April, 1989
Asal: Selayang Baru
Pasukan: Harimau Muda A
Pencapaian: Pingat emas Sukan SEA Laos 2009, juara Piala Suzuki AFF di Jakarta 2010.


HELMI REMELI

Dari Kedawang ke Kuala Terengganu

MEMBANCUH simen, menyusun botol minyak gamat, mengail ikan, berniaga laksa dan menjaga lori keluar masuk dari lokasi pembinaan - antara kerja-kerja yang pernah dilakukan Helmi Remeli sebelum takdir menentukan rezekinya hadir dalam bola sepak.

Memori kais pagi, makan pagi itu belum terpadam daripada kotak pemikiran bek kanan Terengganu itu.

Bahkan ia menyedarkan Helmi, anak kelahiran Kedawang, Pulau Langkawi, agar tidak lupa asal-usulnya sekalipun sudah meniti kejayaan. Dalam tempoh seminggu bulan lalu, Helmi mengecap nikmat berganda.

Pada 4 Jun, dia menyarung jersi kebangsaan buat julung kali menentang Hong Kong. Genap seminggu kemudian, dia membantu Terengganu menjulang Piala FA, membenam Kelantan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur, terharu dan bangga atas pengalaman itu. Detik manis bermain untuk negara disusuli kejayaan memenangi Piala FA,” kata Helmi mengulas minggu yang cukup manis itu.

“Ia mengubat kecewa saya yang tidak bermain selama lebih enam bulan musim lalu akibat kecederaan lutut.”

Keputusan Datuk K. Rajagobal membuka pintu kepada Helmi pada usia 26 tahun cukup dihargai bek kanan yang pernah menyarung jersi Kuala Muda Naza itu.

“Saya tidak sangka terpilih mewakili negara pada usia ini. Ketika dimaklumkan akan bermain melawan Hong Kong, saya cemas. Begitu juga pengalaman bermain depan stadium yang dipenuhi penonton pada final Piala FA. Tapi bila sudah bermain, tekanan itu mula dilupakan,” katanya.

Sekalipun bola sepak menjulang nama Helmi, dia sebenarnya mewakili daerah Langkawi dalam ping pong ketika zaman persekolahannya.

“Saya bermain bola sejak bersekolah di SK Kedawang tetapi lebih cenderung bermain ping pong hingga mewakili Langkawi dalam kejohanan empat penjuru dan Piala Menteri Besar.”

Selepas menamatkan pengajian di SMK Kedawang, Helmi memutuskan menolak tawaran ke Tingkatan Enam, sebaliknya berazam mencari pekerjaan tetap.

“Sambil itu, saya membantu bapa dalam kerja pembinaan, membancuh simen dan bertukang. Ibu pula berniaga laksa. Kemudian saya mendapat kerja di sebuah hotel sebagai beach boy dengan gaji RM300 sebulan. Tidak sampai setahun, saya mendapat kerja di kilang minyak gamat.”

Hala tuju hidupnya berubah pada 2004 apabila seorang jurulatih mencadangkan Helmi menyertai sekumpulan pemain dari Langkawi untuk menjalani ujian pemilihan skuad Piala Emas Raja-raja Kedah.

“Saya terpilih bermain sebagai pemain tengah,” katanya.

Dari situ, bekas jurulatih kebangsaan, Ahmad Shafie, mempelawa Helmi menyertai Kuala Muda Naza.

“Saya timba pengalaman selama tiga musim, beraksi di bawah tiga jurulatih. Saya didedahkan bermain semua posisi, bahkan pernah menjadi back-up striker buat Akmal Rizal Rakhli.”

Apabila Irfan Bakti Abu Salim menelefonnya mengajaknya berhijrah ke Terengganu pada hujung 2009, Helmi sedang menimbang tawaran sebuah pasukan di utara.

Mujur buat Helmi, keputusannya ke Pantai Timur melapangkan rezekinya.

Helmi Remeli
Tarikh lahir: 24 Mac, 1985
Asal: Kedawang, Langkawi
Pasukan: Terengganu, Kuala Muda Naza
Posisi: Bek kanan
Pencapaian: Juara Piala FA 2011


No comments: