Sunday, July 9, 2017

Esok bangun jadi jutawan!

PADA Ogos 1999, penulis membuat temu janji dengan beberapa pelajar sekolah berusia 13 dan 14 tahun. Mereka kelompok perintis Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk program bola sepak elit Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Interviu itu dilakukan tidak lama selepas program berkenaan dilancarkan, tiga tahun sesudah SSBJ diwujudkan.


Zul Yusri Che Harun, Zahiruddin Syobri, Shaik Mohammad Firdaus Shaik Annuar, Norshahrul Idlan Talaha, Faridz Ahmad, Fazuan Abdullah dan Azfar Nasri Burhan antara nama-nama yang disyorkan kepada penulis untuk ditemu ramah.

Penulis mengimbau detik itu selepas siaran Kafe Sukan Isnin lalu yang membawakan tajuk Transisi daripada remaja kepada senior dalam bola sepak, menampilkan dua bekas jurulatih pembangunan remaja di FAM, Aminuddin Hussin dan Ahmad Fairuz Yunus.

Aminuddin dan Fairuz antara watak penting yang membentuk beberapa generasi pemain di SSBJ yang akhirnya menyarung jersi pasukan negara.

Selain mereka, Richard Scully, Ismail Ibrahim dan Razip Ismail antara tenaga pengajar dalam program itu bersama guru seperti Zulkifli Shamsuddin dan Haris Lajid.

Aminuddin yang menghabiskan lebih sedekad di FAM dengan tugasan terakhir selaku Ketua Pembangunan Belia mengingatkan penonton bahawa program itu dilancarkan pada 1999 dengan menampilkan generasi sulung yang antara lain dianggotai Afif Amiruddin dan Razman Roslan yang lahir pada 1984.

Generasi seterusnya termasuk Stanley Bernard Samuel, Riduan Othman, Nurul Azwan Roya, Amirulhadi Zainal, Norshahrul dan Shakir Shaari yang dibimbing Zainal Abidin Hassan selaku ketua jurulatih Bawah 17 tahun pada 2001 dan 2002.

Safiq Rahim, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak dan Nashriq Baharom pula dari generasi yang lahir pada 1987.

“Proses pembangunan program ini mengambil masa 10 tahun dan kemuncaknya apabila pasukan Bawah 23 tahun mengutip pingat emas di Sukan SEA di Laos pada 2009. Lebih separuh daripada kesebelasan permulaan Datuk K. Rajagobal adalah hasil tangan SSBJ. Beberapa tonggak yang sama seterusnya menjulang Piala AFF pada tahun berikut,” kata Aminuddin.

“Ia proses ujian dan kesilapan. Kami belajar daripada kesilapan ketika mengurus generasi pertama dan seterusnya.”

Fairuz yang kini bersama akademi Frenz United, menganggap banyak faktor yang diambil kira apabila seorang pemain remaja memasuki dunia senior.

Namun Aminuddin dan Fairuz bersetuju struktur pertandingan untuk lepasan sekolah harus diperkasakan.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan syarikat korporat seperti Frenz United, Fairuz berkata:

“Dunia korporat menitikberatkan keputusan, maka tindak-tanduk yang dilakukan semata-mata untuk pembangunan. Setiap perlawanan Frenz United dalam semua pertandingan dirakam, jadi kekuatan dan kelemahan lawan kelab seperti Chonburi, PVF dan lawan lain sama ada di peringkat serantau atau Asia sudah diketahui.

Data dan analisis ini harus dikongsi dengan jurulatih kebangsaan kerana kebanyakan pemain yang menjadi bintang di peringkat remaja akan menjadi pemain senior negara masing-masing,” katanya.

Aminuddin turut menekankan betapa penting seorang pemain itu diberi ilmu mengurus kerjaya.

Sejauh ini rata-rata pemain yang tiba-tiba mendapat gaji tinggi selepas dilamar pasukan negeri mendapati sukar menyesuaikan diri dengan kemewahaan.

“Malam ini tidur, esok bangun jadi jutawan!” kata Aminuddin.

“Mereka memerlukan ilmu untuk belajar mengurus kerjaya sambil dipantau majikan,” kata Aminuddin.

Ringkasnya, sama ada anda pemain, jurulatih atau pegawai, ilmu pengurusan diri dan kerjaya harus ditanam seawal mungkin.

No comments: